banner S Manikavasagam is the elected MP of Kapar(P.109).He stood under the PKR ticket.He is also in the Environmental Committee(opposition).Read More About Your Mp Here

Subscribe

Enter your email address:

Sep
8th

BAIK KITA TEGUR SESAMA

Author: Office of Mp Kapar | Files under Kapar

Berikut adalah laporan-laporan yang dipeti dari akhbar Utusan Malaysia . Saya berpendapat tegur mengegur sesama kalangan pemimpin parti sendiri adalah lebih baik daripada kita di telatah oleh pembangkang.

Ianya juga menunjuk kematangan politik pemimpin Pakatan Rakyat yang sanggup menunjuk agar kekurangan sendiri . Lebih baik kita baiki kelemahan kita sekarang daripada tunggu untuk 50 tahun akan datang. Janganlah macam Gerakan bertembung dengan UMNO setelah sekian lama berdiam diri.

Saya selaku Timbalan Pengerusi Perhubungan PKR Selangor lebih berhak mengegur Pengerusi PKR Selangor yakin Dato Menteri Besar Selangor. Jangan pula orang lain mengambil kesempatan ini.

‘MB akan terima kesan 5 tahun lagi’

Oleh ROZILAN SALLEH

SHAH ALAM 7 Sept. - Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam marah dan kecewa dengan kenyataan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang menganggap lawatan untuk meninjau keadaan mangsa ribut di beberapa kampung di Klang dan Kapar sebagai membuang masa dan membazirkan wang.

Ahli Parlimen PKR itu memberi amaran bahawa Abdul Khalid bakal menerima kesan pada pilihan raya umum lima tahun akan datang ekoran kenyataannya yang menyinggung hati ramai penduduk kampung terlibat.

“Saya puji tindakan pantas UMNO apabila Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib turun dengan cepat melawat mangsa bencana alam ini dan menghulurkan bantuan.

“Mana pemimpin kerajaan negeri? Sebagai Ahli Parlimen Kapar, saya sungguh kecewa apabila tidak ada yang tunjuk muka. Saya tidak takut jika pucuk pimpinan parti mahu mengambil apa- apa tindakan terhadap saya kerana saya berpendirian tegas dalam hal ini.

“Saya terima banyak aduan, ramai yang pelik dan tidak suka dengan kenyataan Menteri Besar, kenapa dia cakap macam itu, memang peliklah dengan cara dia,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam, Abdul Khalid Ibrahim mempertahankan tindakannya tidak turun padang untuk meninjau keadaan mangsa ribut di beberapa kampung di Klang dan Kapar dengan menganggap perbuatan tersebut sebagai membuang masa dan membazir wang.

Menurut Menteri Besar itu, walaupun pakatan pembangkang sering melaung-laungkan konsep negara berkebajikan, ia tidak bermakna beliau perlu menunjukkan muka kepada rakyat ketika mereka berdepan kesusahan seperti bencana alam.

Dalam kejadian pukul 3 petang pada 1 September lalu, lebih 1,000 keluarga dari beberapa kampung seperti Kampung Sungai Udang serta Kampung Sungai Bertek di Teluk Pulai dan Kampung Rantau Panjang di Kapar menjadi mangsa ribut.

Sebelum ini, Manikavasagam mendakwa Abdul Khalid seolah-olah tidak mengambil berat dengan nasib mangsa ribut apabila tidak menghantar bantuan segera kepada mangsa yang menghadapi pelbagai kesusahan.

Kritikan itu dibuat selepas Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib melawat mangsa dan menyerahkan bantuan RM300 kepada 340 keluarga yang rumah mereka rosak teruk sehari selepas kejadian.

Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) turut menyumbangkan RM100,000 untuk membeli dan menggantikan atap rumah yang rosak.

Mengulas lanjut, Manikavasagam memberitahu, beliau boleh menerima jika hanya berlaku bencana kecil seperti kebakaran membabitkan 10 rumah tetapi kejadian ribut yang berlaku Isnin lalu boleh dianggap sebagai bencana negara.

Menurutnya, sebagai Menteri Besar, Abdul Khalid perlu meninggalkan mentaliti dunia korporat apabila menganggap tindakan sedemikian hanya membuang masa tanpa mengambil kira kesan ekoran kenyataan seperti itu.

Selain itu, ekoran tindakannya mengkritik Abdul Khalid sebelum ini, beliau menerima banyak ugutan daripada beberapa pihak yang tidak menyenangi kelantangannya bersuara sehingga terpaksa membuat laporan polis.

Mangsa ribut kecewa

Oleh AZIAN AZIZ


KLANG 7 Sept. - Kenyataan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang menganggap langkah turun padang untuk melawat mangsa ribut di beberapa kampung di daerah ini sebagai membuang masa dan membazir wang, mengundang rasa kecewa di kalangan mangsa bencana alam itu.

Beberapa mangsa yang ditemui hari ini turut menyifatkan beliau seorang pemimpin yang ego, pentingkan diri, tiada simpati dan tidak pandai menjaga hati rakyat yang telah memilih pakatan pembangkang sebagai kerajaan memerintah di Selangor.

Seorang mangsa ribut, Intan Mariam Mohd. Isa, 35, yang menetap di Sungai Udang di sini berkata, Abdul Khalid tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan seperti itu kerana sebagai pemimpin adalah menjadi tugasnya untuk turun padang dan mengambil tahu masalah rakyat.

Menurutnya, memang benar Abdul Khalid mempunyai wakil rakyat dan Exco tetapi jika orang harapannya itu tidak menjalankan tugas seperti yang diamanahkan dan memilih bulu dengan mengutamakan orang tertentu, beliau tidak akan tahu mengenainya.

Sebagai contoh, katanya, sewaktu ribut berlaku tiada wakil daripada kerajaan negeri yang datang menjenguk rumahnya apa lagi menghulurkan bantuan.

Intan Mariam memberitahu, pemimpin yang datang ialah rombongan daripada Kerajaan Pusat diketuai Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib serta bekas-bekas pemimpin kerajaan Selangor pada hari kedua.

Malah, kata beliau lagi, semasa pengagihan bantuan dibuat oleh kerajaan negeri semalam bukan semua mangsa mendapat bantuan itu.

“Jadi kepada Menteri Besar, janganlah cakap sebarangan kerana dia baru muncul semalam dan tak tahu senario sebenar.

“Semasa bantuan diperlukan pada hari pertama dan kedua, di mana dia berada? Jika dia kata wakil rakyat dan Exconya ada, di mana mereka pada ketika itu kerana saya tidak nampak mereka,” kata wanita itu sambil memberitahu enam atap rumahnya tercabut akibat ribut yang berlaku awal minggu ini.

Seorang lagi mangsa, Hamidah Ibrahim berkata, beliau begitu berkecil hati dengan kenyataan Abdul Khalid yang begitu yakin semua penyaluran bantuan telah diuruskan oleh wakil rakyat dan Exconya dengan baik.

Menurutnya, atap rumahnya di Jalan Yadi yang tercabut dalam kejadian ribut 1 September lalu sehingga kini belum dibaiki dan setiap kali hujan, rumahnya akan dimasuki air.

Lebih menyedihkan, dia masih belum mendapat bantuan daripada mana-mana pihak dan oleh kerana keadaan kewangan tidak mengizinkan untuk dia membaiki rumahnya, dia hanya mampu menunggu bantuan.

“Saya dah dua kali isi borang untuk mohon bantuan sejak kejadian ribut itu tetapi masih belum dapat. Bila ditanya kepada pegawai berkenaan, katanya borang saya hilang dan disuruh menunggu entah sampai bila.

“Jadi saya minta jasa baik Menteri Besar dan wakil rakyatnya agar membuat lebih banyak tinjauan untuk mengetahui apa yang sebenarnya berlaku.

“Bukan mahu menuduh tetapi saya sedih apabila dianaktirikan seperti ini,” katanya yang merupakan seorang suri rumah.

Suami Hamidah, Ismail Idris, 53, mengalami strok dan tidak berupaya untuk bekerja. Hamidah yang mempunyai tiga anak juga membela adiknya yang merupakan orang kurang upaya (OKU). Mereka hanya hidup dengan wang pencen Ismail sebanyak RM800 sebulan.

Turut tidak mendapat bantuan ialah Azhar Mat Shah, 36, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan.

Bumbung rumahnya rosak dalam kejadian ribut yang disifatkan paling teruk pernah berlaku di Kampung Telok Gadong Kecil di sini.

Menurut Azhar, apabila membaca akhbar dan mengetahui apa yang dikatakan oleh Abdul Khalid timbul rasa tidak puas hati, marah dan kecewa dalam dirinya.

“Tak patut Menteri Besar cakap macam itu. Dia sebagai pemimpin yang dipilih rakyat sepatutnya menghargai rakyat bukannya cakap seperti orang sombong,” katanya.

Nasib Azhar dikongsi ibu saudaranya, Sarah Aji, 57, ibu tunggal yang tinggal bersama anak dan cucunya di Jalan Yadi di sini.

“Saya tak minta banyak tetapi tolonglah baiki atap rumah saya. Atap rumah saya memang telah uzur dan bila ribut, keadaan jadi lebih teruk.

“Malah, pokok kecil yang tumbang dan menimpa belakang rumah saya juga masih belum dialihkan,” katanya.

Bagaimanapun, seorang lagi mangsa, Mohd. Amir Adnan, 40, yang bekerja sebagai peniaga murtabak meminta orang ramai agar memahami kesibukan tugas Abdul Khalid sebagai Menteri Besar dan menghormati apa yang dikatakannya.

“Apa yang dicakap oleh Abdul Khalid mungkin ada betulnya dan sebagai rakyat kita mesti faham tugas berat yang dipikulnya.

“Jika semua kerja dia nak buat nanti wakil rakyat dan Exco tak ada kerja pula,” katanya yang membaiki rumah dengan wang nya sendiri.

Jaga hati rakyat jika ingin bertahan lama

KUALA LUMPUR 7 Sept. - Aktivis sosial dan ahli akademik terkejut dengan kenyataan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bahawa tindakan turun padang adalah satu perkara yang membuang masa dan wang ringgit.

Aktivis Sosial dan Ekonomi, Datuk Dr. Denison Jayasooria berkata, kerja seorang menteri besar bukan setakat mempengerusikan mesyuarat tetapi perlu terlibat dalam kerja-kerja peringkat bawahan.

Sebagai Menteri Besar, katanya, Khalid perlu turun padang kerana rakyat ingin Khalid faham masalah yang mereka hadapi.

“Walaupun boleh mengarahkan orang lain untuk turun padang tetapi ini akan menyebabkan hubungan rakyat dengan pemimpin tertinggi kerajaan negeri terputus.

“Jangan hanya mempengerusikan mesyuarat di peringkat makro sahaja tetapi perlu juga melakukan kerja-kerja mikro. Kena luangkan masa untuk turun padang,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Katanya, menjadi tanggungjawab seorang pemimpin untuk memahami dan mengetahui sendiri permasalahan rakyat.

Melalui aktiviti turun padang ujarnya, seseorang pemimpin boleh membuat keputusan berdasarkan penilaian yang terbaik mengenai sesuatu situasi tanpa perlu bergantung kepada pihak ketiga.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Khalid semalam, yang mempertahankan tindakannya untuk tidak turun padang melawat mangsa ribut di Kapar, Klang sebagai buang masa dan wang ringgit.

Pada 1 September lalu, kira-kira pukul 3 petang, lebih 1,000 keluarga dari beberapa kampung seperti Kampung Sungai Udang serta Kampung Sungai Bertek di Teluk Pulai dan Kampung Rantau Panjang di Kapar menjadi mangsa ribut.

Sementara itu, Pensyarah Jabatan Sosiologi dan Antropologi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof. Dr. Fatimah Daud mengingatkan Khalid supaya jangan terlalu angkuh.

“Siapa yang beri dia jawatan, kedudukan dalam kerajaan negeri dan segala kesenangan kalau bukan rakyat? Baru naik sudah nak buat perangai pelik-pelik. Jangan tunjuk angkuh, tak beri manfaat apa-apa pun pada diri.

“Pemimpin tidak kira siapa pun, kena pandai jaga hati rakyat. Kalau pandai jaga hati, dapatlah pemimpin itu bertahan. Kalau tak tahu nak jaga hati rakyat, berhentilah,” ujarnya.

Katanya, pemimpin harus sedar bahawa kuasa sebenar terletak di tangan rakyat kerana mereka yang akan memangkah kertas undi pada pilihan raya.

“Masa nak minta sokongan, minta undi sanggup turun padang. Bila dah berkuasa, tak mahu turun padang, tak mahu tengok pun muka rakyat,” kata Fatimah.

Menurutnya, walaupun secara dasarnya tindakan turun padang adalah bagi tujuan mendapatkan sokongan politik tetapi dari psikologinya, pada masa inilah rakyat menilai keprihatinan para pemimpin.

“Ini juga yang akan mengubah persepsi dan sedikit sebanyak mampu menyejukkan hati rakyat yang ditimpa musibah.

“Kalau tidak mahu turun padang atas dasar politik, turun padang atas dasar fisabilillah, beri kebajikan kepada rakyat,” tambahnya.

MB Kedah turut tegur

YAN 7 Sept. - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak menyifatkan amalan ‘menunjuk muka’ kepada rakyat yang berdepan dengan kesusahan merupakan satu kewajipan kemanusiaan pemimpin bagi menzahirkan rasa simpati terhadap nasib malang yang menimpa mereka.

“Macam kita menziarahi orang sakit. Apa guna kita pergi ziarah orang sakit, (kerana) kita bukan doktor, kita bukan bagi ubat pada dia.

“Kita pergi melawat itu atas dasar simpati. Simpati itu adalah kewajipan kemanusiaan,” katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di Dewan Serbaguna Guar Chempedak di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas laporan muka depan Mingguan Malaysia hari ini mengenai kenyataan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mempertahankan tindakannya tidak turun padang untuk meninjau keadaan mangsa ribut di beberapa kampung di Klang dengan menganggap perbuatan tersebut sebagai membuang masa dan membazir wang.

Azizan berkata, beliau sendiri sejak menjadi wakil rakyat sehingga dilantik sebagai Menteri Besar sentiasa turun padang untuk meninjau keadaan orang ramai yang berdepan musibah seperti bencana alam.

Menurutnya, adalah menjadi tugas beliau untuk menunjukkan rasa simpati kepada mangsa-mangsa yang mengalami kesusahan.

Katanya, dalam Islam sendiri pun terdapat hadis menyatakan bahawa “Allah S.W.T menolong hamba-Nya bila hamba itu menolong saudaranya.”

“Kalau rumah orang itu sudah tiada, rumahnya runtuh atau kena ribut dan dia kena jaga rumah sehingga tidak boleh buat kerja lain, kita bagi bantuan beras kepadanya. Sekurang-kurangnya kalau bagi beras, dia boleh tumpu kepada kerja-kerja baiki rumah,” katanya.

Ketika ditanya mengenai kenyataan Abdul Khalid yang menganggap perbuatan segelintir pihak yang memberi bantuan dengan menemui sendiri mangsa bencana merupakan satu gimik politik, Azizan berkata: “Terpulang pada niat… tapi tunjuk muka itu tanda simpati.”

Menteri Besar Kedah itu, bagaimanapun, enggan mengulas lanjut mengenai kenyataan Abdul Khalid.

“Kita tak tahu maksudnya, mungkin maksud dia orang pergi melawat nak tengok (mangsa bencana) untuk seronok-seronok,” katanya.

Share This Story:
  • Digg
  • Facebook
  • Google
  • E-mail this story to a friend!
  • Print this article!
  • Technorati

Related posts

You must be logged in to post a comment.