Pandang serius isu jenayah: Manikavasagam

pandang-serius-isu-jenayah-manikavasagam

KLANG – Masalah jenayah yang masih banyak berlaku di sekitar Parlimen Kapar di sini harus dipandang serius dan ditangani dengan baik agar ia kadar jenayah tidak terus meningkat sehingga mencetuskan kebimbangan masyarakat.

Kerjasama dari pihak berkuasa dan masyarakat amat perlu bagi membendung kegiatan jenayah dari terus berleluasa dengan memperbanyakkan program yang dapat mengajak masyarakat terutamanya generasi muda menghayati keamanan dan keharmonian.

Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam berkata, kadar jenayah yang semakin meningkat bukan satu berita baik dan masalah ini berlaku apabila ada segelintir masyarakat terjebak dengan salah laku serta pergaulan hingga mendorong mereka melakukan jenayah.

Menurutnya, melalui agensi dan jabatan kerajaan, persatuan serta kelab yang berkaitan dengan aktiviti sosial, sukan dan rekreasi boleh menganjurkan pelbagai jenis aktiviti berfaedah untuk mengajak masyarakat terutama generasi muda menyertainya.

“Apa yang lebih kita bimbangkan adalah penglibatan generasi muda dalam kegiatan jenayah semakin membimbangkan dan sesuatu perlu dilakukan untuk menarik mereka agar menghindari kancah serta perangkap pihak tertentu untuk melakukan jenayah.

“Oleh itu, peranan ibu bapa dan keluarga dalam mengawasi pergerakan anak-anak mereka adalah amat penting di samping menggalakkan mereka menyertai aktiviti berfaedah untuk memenuhi masa lapang,” katanya.

Beliau berkata, aktiviti sukan dan rekreasi dilihat dapat menjadi medan terbaik untuk belia dan remaja ‘menyibukkan’ diri mereka dengan perkara berfaedah selain mampu menjana kesihatan tubuh badan serta fikiran selain memupuk perpaduan antara masyarakat berbilang bangsa.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Kejohanan Tekwando Adventure Academy kali kedua di Dewan Serbaguna Jalan Tepi Sungai di sini, kelmarin.

Manikavasagam berharap lebih banyak pihak dapat menjadi pendorong kepada penganjuran pelbagai aktiviti yang dapat menjadi pemangkin kepada pembangunan sosial masyarakat dan seterusnya mendidik generasi muda ke arah kebaikan.

“Kita percaya, jika mereka cenderung mengikuti aktiviti dan program yang boleh memanfaatkan masa lapang mereka, kadar jenayah dapat dikurangkan terutama dalam kalangan individu yang keciciran.

“Kita tidak boleh mengabaikan keperluan golongan itu (keciciran) kerana mereka juga perlukan perhatian dan dorongan untuk melibatkan diri mereka dengan program dan aktiviti yang dapat menghalang mereka terjebak dengan gejala tidak bermoral serta berjinak-jinak dengan jenayah,” katanya.

Menurutnya, dengan wujudnya banyak program berbentuk sukan dan riadah dapat membawa muda-mudi ke arah jalan yang betul dan tidak mudah terpengaruh dengan gejala buruk yang hanya memudaratkan diri dan keluarga mereka.

gambar acara berkenaan di Facebook

Share This Story:
  • Digg
  • Facebook
  • Google Bookmarks
  • email
  • Print
  • Technorati
  • PDF
  • Twitter
  • Yahoo! Bookmarks
  • Yahoo! Buzz

Tags: , ,

Leave a Comment

You must be logged in to post a comment.