Tuan S. Manikavasagam [Kapar] minta Menteri Belia dan Sukan menyatakan:
(a) apakah langkah-langkah yang telah diambil untuk memastikan lebih ramai belia terutamanya belia dari masyarakat India untuk mengambil bahagian dalam program-program kementerian; dan
(b) berikan pecahan mengikut kaum bagi tahun 2006-2009 peserta yang mengambil bahagian dalam program anjuran kementerian dan jumlah perbelanjaan.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan II [Tuan Wee Jeck Seng]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat. Untuk maklumat Yang Berhormat, kementerian sentiasa berusaha untuk memastikan program-program kementerian disertai seramai mungkin golongan belia berbilang kaum di negara ini termasuklah Malay- India. Bagi mencapai matlamat tersebut beberapa langkah telah dilaksanakan iaitu:-
(i) menyusun semula dan memantapkan program-program anjuran kementerian dari semasa ke semasa agar sentiasa memenuhi keperluan dan kehendak golongan belia pelbagai kaum;
(ii) memberi ruang kepada persatuan-persatuan belia menganjurkan sendiri program-program yang memenuhi keperluan serta kehendak belia berdasarkan kepada garis panduan yang ditetapkan;
(iii) meningkatkan keupayaan pertubuhan belia bagi menggalakkan belia berpersatuan seterusnya dapat mengisi masa lapang atau masa senang mereka dengan aktiviti-aktiviti yang lebih manfaat;
(iv) mengaktifkan gerakan dan persatuan belia hingga ke peringkat akar umbi menerusi pelaksanaan Program Satu komuniti Satu Persatuan; dan
(v) mempergiatkan aktiviti-aktiviti promosi sama ada media elektronik mahupun media cetak seperti Program Radio Belia, Akhbar Sisipan Yo dan Program Hari Bertemu Belia dan berbagai-bagai program lagi.
Kementerian turut mengambil pendekatan dengan melaksanakan program di lokasi-lokasi tumpuan pelbagai kaum serta menganjurkan hebahan di semua media masa dalam pelbagai bahasa.
Bagi menjawab bahagian (b), untuk makluman Yang Berhormat program program yang dilaksanakan oleh Kementerian Belia dan Sukan adalah berasaskan kepada tiga program utama iaitu Program Pembangunan Belia, Program Pembangunan Sukan, Program Rakan Muda. Ketiga-tiga program ini adalah terbuka untuk disertai oleh semua kaum di negara ini.
Oleh yang demikian pecahan perbelanjaan dan bidang penyertaan adalah seperti berikut. Bagi tahun 2006, bilangan penyertaan adalah seramai 2.1 juta belia dengan jumlah perbelanjaan sebanyak RM63.3 juta. Bagi tahun 2007, bilangan penyertaan ialah seramai 2.4 juta belia dengan jumlah perbelanjaan sebanyak RM103 juta. Bagi tahun 2008 pula bilangan penyertaan ialah seramai 2.72 juta belia dengan jumlah perbelanjaan sebanyak RM106 juta dan sehingga setakat ini, pada tahun 2009 bilangan penyertaan ialah 3.1 juta belia dengan jumlah perbelanjaan RM87 juta.
Akan tetapi bilangan penyertaan belia dalam Program Rakan Muda mengikut pecahan kaum adalah seperti berikut. Bagi tahun 2007, jumlah penyertaan ialah seramai 694,000, belia Melayu ialah seramai 529,000 orang bersamaan dengan 76%. Belia Cina seramai 80,000 orang atau 11.5%, belia India seramai 70,000 bersamaan 10.1% dan lain-lain seramai 15,000 orang bersamaan 2.4% dengan kos keseluruhan sebanyak RM40 juta.
Bagi tahun 2008 pula jumlah penyertaan belia adalah seramai 855,000 orang. Belia Melayu ialah seramai 611,000 bersamaan 71.4%, belia Cina seramai 116,00 atau 13.6%, belia India seramai 94,000 bersamaan 11% dan lain-lain seramai 34,000 orang bersamaan 4% dengan kos keseluruhan sebanyak RM37.5 juta. Bagi tahun 2009 pula sehingga setakat ini, jumlah penyertaan belia adalah seramai 1.5 juta orang. Belia Melayu ialah seramai 994,000 orang bersamaan 67.2%, belia Cina seramai 105,000 orang atau 7.1%, belia India seramai 174,000 bersamaan 11.8% dan lain-lain 206,000 orang atau 13.9% dengan kos sebanyak RM23.8 juta. Sekian terima kasih.
Tuan S. Manikavasagam [Kapar]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Timbalan Menteri. Seperti mana sedia maklum, masyarakat India menduduki tangga teratas dalam kegiatan jenayah dan sering menjadi mangsa tembakan hantu oleh pihak Polis Diraja Malaysia. [Dewan riuh]
They are the king dengan izin, sebagai mana terjadi di kawasan saya di Kapar. Baru-baru ini tiga orang adik-beradik dan sekeluarga menjadi mangsa, bersama-sama dua orang rakan mereka. Kalau terlepas tembakan pun golongan ini akan disumbat di penjara dan mengakibatkan masa depan mereka akan menjadi gelap selamanya. Manakala golongan penghisap najis dadah yang lebih berbisa serta mengakibatkan kerugian ekonomi lebih serius, diberi peluang untuk kembali ke pangkuan masyarakat melalui pelbagai program.
Soalan tambahan saya Tuan Yang di-Pertua, mengapakah kementerian tidak memberi penekanan kepada mereka yang terlibat dalam kegiatan jenayah terutama belia-belia, peluang untuk memperbetulkan diri mereka serta latihan-latihan kemahiran diri sama seperti penagih-penagih dadah. Sekian terima kasih. [Tepuk]
Tuan Wee Jeck Seng: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Tadi saya bagi satu jawapan bahawa program yang telah dijalankan oleh kementerian dan kita Nampak peningkatan, maknanya program-program yang dilaksanakan oleh kementerian dapat menarik minta belia untuk ambil bahagian. Kementerian sentiasa mengambil pelbagai langkah dan inisiatif untuk mendekati belia dan untuk mendengar suara belia. Jadi sebab itulah kementerian sentiasa mengatakan persatuan merupakan rakan kongsi kepada kementerian, ahlinya merupakan kawan kepada kementerian. Saya tidak pasti adakah Yang Berhormat sedar bahawa program-program tersebut kita jalankan dengan begitu lancar dan kerajaan sentiasa mengambil berat, memberi perhatian dan tidak mahu mana-mana golongan pun tercicir daripada pembangunan belia.
Jadi, kalau dikatakan golongan sasaran kaum belia India, tahukah Yang Berhormat sebenarnya pada tahun 2008 kementerian telah membuat satu keputusan melalui Program Rakan Muda Wawasan Desa Estet, kerajaan merancang khas untuk memberi peluang supaya menarik lebih ramai golongan belia India untuk ambil bahagian dalam pelbagai program. Kerajaan telah menyediakan RM854,000 pada tahun ini dan dengan sasaran mengadakan supaya kalau boleh menjalankan sebanyak 150 program dan sehingga setakat ini 122 program telah dijalankan melibatkan 18,300 orang belia India. Jadi saya nampak kerajaan telah khusus, begitu ambil berat kepada kaum belia India dan memperuntukkan satu program khas untuk kaum belia di seluruh negara agar mereka dapat menentukan dan merancang program sendiri, kesesuaian program mengikut cita rasa mereka supaya mereka dapat tarik lebih ramai untuk mengambil bahagian dan lebih banyak program untuk mengisi masa depan mereka.
Sekian terima kasih.
Datuk Ir. Haji Idris bin Haji Haron [Tangga Batu]: Terima kasih Tuan Yang di- Pertua, terima kasih Yang Berhormat Menteri. Saya percaya pihak kementerian telah melakukan program-program yang terbaik dan telah menyediakan dasar-dasar yang terbaik untuk penglibatan pelbagai kaum belia di dalam kegiatan-kegiatan kementerian.
Tahukah Yang Berhormat Menteri bahawa ada tiga persatuan belia terbesar yang melibatkan kaum India iaitu, Kelab Bell Belia Tamil (KBBT), HYO dan juga MIYC. Saya dapat melihat bahawa ada pertubuhan yang mengambil inisiatif tersendiri dengan menyediakan satu dua jawatan kanan di dalam pertubuhan untuk kawan-kawan kita daripada masyarakat India. Saya hendak bertanya pihak kementerian dalam konteks pertubuhan belia, adakah kementerian akan mewajibkan serta mensyaratkan setiap pertubuhan belia di negara ini meletakkan jawatan kanan dan juga jawatan ahli jawatankuasa pertubuhan untuk rakan-rakan kita dari kaum India untuk menarik minat mereka menyertai pertubuhan-pertubuhan belia. Sekali gus dapat membantu menyelesaikan masalah yang disebutkan tadi.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Tuan Wee Jeck Seng: Terima kasih Yang Berhormat. Sebagaimana yang kita maklumkan kementerian mempunyai Majlis Perundingan Belia Negara. Jadi Majlis Perundingan Belia Negara memainkan peranan yang amat besar dalam perencanaan, pemantauan, pelaksanaan dan penilaian program serta peningkatan pembangunan belia dan sekali gus menentukan hala tuju pembangunan belia negara.
Jadi apa yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat, pertubuhan belia India ini adalah merupakan Ahli MPBN kepada keempat-empat persatuan tersebut. Selain daripada itu lantikan Menteri juga ada beberapa wakil daripada kaum belia India dan juga EXCO MPBN sendiri pun ada menghantar wakil daripada kaum belia India untuk menduduki MPBN ini, sebagaimana ia akan membincangkan, memberi pandangan yang saya katakan tadi. Jadi saya rasa iaitu bukan masalah. Mungkin kita boleh bincang untuk memperkasakan lagi tetapi haruslah ingat persatuan-persatuan sendiri pun merupakan satu NGO.
NGO sendiri pun patut ada tindakan yang sesuai dan boleh memaklumkan juga kepada kementerian apakah keperluan. Kementerian sentiasa terbuka. Tadi saya kata persatuan merupakan rakan kongsi kepada kementerian. Jadi tak ada masalah daripada segi komunikasi kalau semuanya proaktif untuk duduk bersama, bincang bersama dan kita akan mengatasi masalah bersama.
Sekian, terima kasih.
Related posts |
S Manikavasagam is first time Member of Parliament Malaysia, Kapar(P.109).He stood under the ticket of Parti Keadilan Rakyat(PKR). He also sits in PKR's Supreme Body Council and PKR's Political Bureau Member .




You must be logged in to post a comment.