Nov 08
29
Wan Azizah : KeADILan Parti Untuk Semua
Presiden Parti Keadilan Rakyat Dato Seri Wan Azizah menegaskan bahawa PKR parti untuk semua semasa berucap di Kongres National Tahunan Ke-5 nya. Wan Azizah juga menjelaskan KeADILan tertubuh hasil dari hasrat perjuangan dan doa rakyat yang inginkan perubahan dalam politik negara. Agenda kita adalah agenda rakyat. Gerakan kita adalah gerakan parti politik yang berlandaskan sistem demokrasi. Justeru kita tidak akan mampu mencapai kemajuan sekiranya kebebasan berfikir dan hak untuk mengemukakan pandangan dinafikan. Kita harus mengekalkan fikrah murni dan menggilap semangat juang dan budaya kerja profesional. Setiap ahli harus mempunyai semangat juang yang kental, langkah gerak cergas, hemah bertindak dan santun berbicara.
Agenda reformasi telah menjadi inspirasi dan harapan kepada setiap rakyat Malaysia. Kita suburkan semula obor perjuangan yang dinyalakan tokoh-tokoh besar negara; Dr Burhanuddin al-Helmy, Dato Onn Jaafar, Ahmad Boestamam, Datu Mat Salleh dan Rosli Dhobi.
Wan Azizah juga menjelaskan Lima tunjang utama Manifesto Pilihanraya 2008 telah di tawarkan kepada rakyat bagi menyembuhkan negara kita dari pentadbiran tempang dan penyalahgunaan kuasa pentadbiran Barisan Nasional.
Pertama, berjanji menjadikan Malaysia sebuah negara madani untuk semua rakyat. Menghormati semangat Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undangĀ dalam setiap tindakan. Kita percaya selagi kita berpegang kepada prinsip Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang, bertekad mewujudkan Badan Kehakiman yang bebas, menjamin perlindungan hak asasi semua rakyat Malaysia maka kita mampu membina sebuah negara madani, lantas melahirkan masyarakat majmuk yang bersatupadu, bertoleransi dan saling menghormati.
Kedua, bertekad membina semula ekonomi negara untuk seluruh rakyat Malaysia. Agenda Ekonomi Malaysia yang kita tawarkan telah menggariskan beberapa prasyarat iaitu sekiranya kita ingin bersaing di peringkat global, serta menjamin perkembangan ekonomi yang pesat, kita seharusnya menolak dasar diskriminasi yang hanya memperkaya kelompok elit, pemimpin, keluarga dan kroni. Kita akan melaksanakan dasar yang berasaskan keperluan, yang akan membantu semua rakyat miskin tanpa mengira bangsa, keturunan dan kepercayaan agama. Kita perlu meningkatkan daya saing, tahap kecekapan di samping membanteras rasuah dan berhemah di dalam perbelanjaan awam jika kita ingin berdiri setanding dengan negara-negara Asia lain seperti Korea Selatan, Taiwan dan Singapura.
Ketiga, bertekad mewujudkan Malaysia yang selamat untuk semua dan melaksanakan saranan yang telah diberikan oleh panel Suruhanjaya DiRaja Pembaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis DiRaja Malaysia. Rasuah dan kecuaian pimpinan pasukan polis telah menjejaskan kewibawaan pasukan polis di mata rakyat. Negara memerlukan pasukan polis yang profesional, terlatih dan dilengkapi dengan peralatan terkini bagi melindungi keselamatan rakyat.
Keempat, berjanji menyediakan harga mampu barangan untuk semua golongan masyarakat dan mengawal harga barangan asas bagi menjamin bekalan yang konsisten dan berterusan. Semua perjanjian konsesi bagi tol dan penetapan tarif akan dikaji semula dengan meletakkan kepentingan dan kepedulian kepada rakyat sebagai faktor utama. Harga meningkat dan tidak terkawal kerana wujudnya amalan monopoli; perjanjian konsesi yang memihak kepada saudagar kaya sepertimana kekecewaan rakyat terhadap perjanjian yang dimeterai dengan syarikat pemilik stesen janakuasa bebas(IPP).
Sebagai negara pengeksport minyak, kenaikan harga petrol yang mendadak pada 5hb Jun 2008 telah mendapat tentangan hebat semua pihak kerana ia telah mengakibatkan kenaikan harga barang yang sukar dikawal dan membebankan rakyat. Meskipun hari ini kerajaan telah menurunkan harga petrol namun ia gagal menstabilkan harga barangan yang telah melambung tinggi apatah lagi ia telah meningkatkan kadar inflasi dalam negara.
Malah hari ini, manakala harga minyak di pasaran global merudum; rakyat dibebankan dengan cukai minyak tambahan. Pada keseluruhannya kerajaan Barisan Nasional ternyata tiada halatuju yang jelas dalam pengurusan ekonomi negara. Keadaan bertambah buruk apabila dunia menghadapi kemurungan ekonomi. Kedegilan kerajaan membentangkan pindaan pada Belanjawan 2009 membuktikan bahawa mereka sememangnya tidak mempunyai perancangan ekonomi dan masih tidak mahu menerima kelemahan diri. Pelan ransangan RM 7 billion yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan yang baru gagal memberi keyakinan kepada rakyat dan pelabur. Justeru tidak hairanlah berlaku penguncupan kepada kemasukan Pelaburan Langsung Asing ( FDI ) ke dalam negara. Laporan terbaru United Nations Conference on Trade and Development World Investment Report 2008, mendapati pengaliran keluar FDI secara besar-besaran mencecah RM38 billion pada tahun 2007.
Kelima, menyedari bahawa pendidikan adalah teras pembangunan negara maka kita berazam menyediakan pendidikan bermutu untuk semua rakyat. Kita juga insaf melihat kedudukan universiti-universiti Malaysia merudum di bawah tahap 200 universiti terbaik dunia, kebanjiran siswazah penganggur hingga mencecah 80 ribu orang, keruntuhan akhlak para remaja lepasan sekolah telah menguatkan tekad kita untuk mengkaji kembali dasar pendidikan sedia ada. Satu dasar pendidikan yang progresif yang mengutamakan sistem nilai pelbagai tamadun dan peringkat masyarakat akan diwujudkan agar para graduan bukan sahaja berketerampilan, malah berdaya saing dan mampu menceburi pasaran global.
Kepercayaan dan persahabatan yang ada di antara pemimpin Pakatan Rakyat telah membolehkan kita menandatangani ‘communique bersama’, yang menjelaskan komitmen kita terhadap kedudukan Raja-Raja Melayu, kedudukan istimewa bangsa Melayu, Bahasa Malaysia dan agama Islam, sepertimana yang terkandung dalam Perlembagaan. Pucuk pimpinan kita juga mengulangi komitmen bersama untuk memperjuangkan hak asasi semua rakyat Malaysia. Perkembangan ini merupakan satu kejayaan besar untuk kita dan menandakan Pakatan Rakyat mempunyai masa depan politik yang cerah. Malah kita bersedia untuk mengembalikan kekebalan raja-raja berteraskan semangat Raja Berperlembagaan.
Inilah erti sebenar ‘Harapan Baru’ yang kita bawa. Bersatu dalam kepelbagaian, berusaha gigih membentuk demokrasi plural dan merakyatkan kepesatan ekonomi negara, berpandukan pentadbiran yang telus dan adil, prinsip pasaran terbuka serta pengagihan kekayaan secara adil. Kita telah mengambil masa lebih sedekad bagi membentuk wawasan bersama untuk masa hadapan negara, dan kita perlu terus berusaha demi mempertingkat kerjasama dan kefahaman di antara ahli parti-parti kita. Kita telahpun berjaya mengetepikan orientasi politik, ideologi parti dan sejarah kita yang sememangnya amat berbeza, demi kepentingan rakyat Malaysia keseluruhannya. Kerana rakyatlah maka kita mewujudkan pakatanĀ yang berjuang berlandaskan Ketuanan Rakyat.
![a Malaysia for Malaysians -
Member of Parliament, Kapar [P.109] a Malaysia for Malaysians - Member of Parliament, Kapar [P.109]](http://www.mpkapar.com/manikavasagam/wp-content/themes/intrepidity/uploads/BILLBOARD.jpg)


















